Khamis, 4 Februari 2016

Mata macam rumah BANGLO


Kalau kita drive kat kawasan rumah mahal-mahal, kita pun pandang seperti khayal jap. Tambah lagi kalau rumah tu banglo macam rumah Hero filem Dilwale, Shah Rukh Khan.

Bila kita pandang sudut luaran rumah, kita pasti bayang yang dekat dalam rumahnya pun hebat-hebat belaka. Kira setaraf la luar dalam. 

2 faktor berbeza kan? Luaran dan dalaman. 

Sama juga dengan PANCA INDERA MELIHAT kita.

Kalau fizikal mata anak kita ok, nampak terang dan lulus ujian sensitifnya (Visual Aquity), kita pun andaikan 

"TIADA MASALAH dengan MATA anak saya."

10 kali cek mata pun ok sebab rata-rata hanya cek 'luarannya' sahaja.

Bukan dalaman mata..

Banyak kes masalah sakit kepala, pening, imbangan badan terganggu, muntah, drive tak boleh jauh-jauh, berpunca dari DALAMAN MATA yang berfungsi hasilkan IMEJ BERMASALAH.

Umpama situasi dia seperti,

"Cantik lah rumah kau bila aku lihat kat luar tadi. Tapi aku masuk je, kenapa macam tak 'match'? Bersepah dan semak aku lihat!"

Saya ulang balik ya...

Mata nampak terang, lulus ujian cek mata (tiada power atau bila pakai spek dah terang balik), kita anggap dah settle masalah mata anak kita.

Lepas tu dia sakit kepala lagi dan tiada tumpuan dalam akademik, result exam masih 'bermasalah'.

Dalam situasi ini kita akan tetapkan dengan keyakinan yang sangat tinggi, 

"Mata bukanlah puncanya lagi! Kita siasat 'benda' lain pula yang mungkin jadi puncanya."

Tiada lagi pemeriksaan mata yang lebih 'detail' akan di ambil sebagai salah satu cara 'siasatan' kita terhadap punca masalah.

Kita tak akan sedar ia berpunca dari masalah dalaman mata selama bertahun-tahun (mungkin juga seumur hidup).
.
.

Bawalah berjumpa dengan Optometris berhampiran anda. 2 tahun kebelakangan ini banyak kes 'pembunuh' senyap kejayaan akademik anak kita, pakar gelarkannya Convergence Insufficiency.

Ia boleh di rawat tanpa pembedahan. Banyak kejayaan telah diperoleh oleh individu yang dapatkan rawatan Convergence Insufficiency ini sama ada secara 'Pasif' ataupun 'Aktif'.

Dalaman mata bukan maksudnya struktur ataupun fizikal dalam bola mata kita, tapi 

"Bagaimana cara 2 mata kita hasilkan apa yang kita lihat (imej) dengan bantuan dari otot mata dan pusat kawalan penglihatan (otak). Seterusnya menghasilkan tindakan refleks berkaitan dengan kemahiran Visual."

Senang cakap macam ni lah, 

Mata adalah apa yang boleh kita lihat secara fizikal pada orang itu (pakar masalah ini adalah Opthalmologist).

Apa yang kita boleh lihat (seluruh isi dunia ini) adalah PENGLIHATAN. Pakar PENGLIHATAN ADALAH OPTOMETRIS. 

Saya bagi 3 contoh 'luaran' dan 'dalaman' mata.

Contoh Pertama,
Luaran : Mata boleh lihat dengan jelas.
Dalaman : Berapa lama boleh bertahan nampak jelas? Adakah perlu guna stamina otot mata yang sangat kuat hanya untuk bagi jelas bila melihat?

Contoh Kedua,
Luaran : Mata boleh bergerak seperti orang lain.
Dalaman : Adakah cukup laju untuk bola mata tu bergerak? Adakah tepat dan pantas mata boleh melihat objek yang laju, seperti bola tenis?

Contoh ketiga,
Luaran : Terang je baca buku.
Dalaman : Berapa pantas mata boleh bagi terang tulisan buku, bila lihat dari jauh ke tulisan buku? Boleh bertahan atau tidak, bagi jelas tulisan dalam buku sehingga waktu malam dalam sehari?
.
.
.
Saya percaya, masih ramai lagi yang tidak pernah terfikir atau terlintas, sukarnya atau susahnya dahulu masa belajar, adalah sebab mata.

Saya ada stori yang menarik tentang staff saya.

Mereka berjumlah 11 orang, akademik biasa-biasa sahaja. Tapi bila saya bagi kelas training cara menjual, saya perasan sesuatu, sebenarnya mereka ini adalah orang yang bijak dan pandai.

Tapi keputusan akademik mereka tidak seperti yang saya kenali mereka (exam tak megah).

Bila saya test penglihatan mereka, 10 daripada mereka punyai Convergence Insufficiency mengikut tahap-tahap tertentu.

Satu persamaan yang ketara ada pada mereka ialah,

"Tidak boleh beri tumpuan lama-lama ketika membaca, salin nota kelas training, mudah sakit kepala dan seperti 'khayal' bila nak faham sesuatu yang dibaca atau study."

Satu lagi saya perhati mereka ada masalah bila hadap komputer lama-lama (Sebab banyak kena 'key in' data pelanggan ke komputer).

Alhamdulillah...

Separuh daripada mereka telah berjaya dan boleh dianggap telah pulih.. Sampai ada yang 'berbisik' dekat saya,

"Kalaulah tahu dari dulu sebab masalah 'dalaman' mata, tak kerja dah dekat Rizal Optometris nih. Silap-silap saya yang buka praktis Optometri." berseloroh staff saya.. Hahaha..

Tapi dalam hati, saya tahu, andaikata lah boleh dipusing balik masa, sudah tentu mereka akan lebih berjaya dan tidak hidup seperti tahap 'ekonomi' sekarang.
.
.
Dalam artikel akan datang, saya akan kongsikan sedikit, test apa yang saya lakukan untuk kenalpasti 'pembunuh' senyap kejayaan kita, Convergence Insufficiency.

Semoga kita peroleh sesuatu kesedaran, dan sampaikan pada yang lain. Saya percaya dengan keyakinan yang utuh, hanya dengan khabarkan dan sebarkan,

"Masalah malas, lambat membaca, tiada tumpuan, sakit kepala yang boleh BERPUNCA dari masalah 'dalaman' mata, iaitu PENGLIHATAN."

Ia akan menjadi satu titik permulaan kejayaan yang lebih bermakna.

Setelah mereka lebih berjaya, saham akhirat akan terus kita peroleh selama mana mereka menggunakan penglihatan yang telah 'dibaik pulih'.


"Kejayaan dengan Penglihatan"

Shahrizal Redwan, Optometris.
Rizal Optometris Kuala Kangsar, Perak.

Pengalaman selama 10 tahun saya dalam kesihatan penglihatan.

Rabu, 3 Februari 2016

ELAK putus harap, jika akademik anak-anak BERMASALAH. Dapatkan Ujian‘MENYALIN NOTA’.


Tuisyen dah, latihan bertubi-tubi dekat rumah pun dah buat. Sekolah yang terbaik, guru juga adalah yang terbaik, tetapi kenapa anak masih lagi tidak fokus atau kata lainya masih TIDAK CEMERLANG dalam akademik?

Teringat saya pada seorang pelajar, Harris,  baru berumur 10 tahun. Datang kerana anak mengadu kabur bila nak lihat jauh. 

Kesan paling UTAMA yang diadu oleh ibunya,

“Cikgu dia kerap telefon, beritahu.. dia selalu tak dapat salin nota pada papan putih. Walaupun dah duduk paling depan dalam kelas.”

Ibunya juga menambah,

“Bila telah cek mata di tempat lain, matanya ok. Tapi dia sering cakap tak nampak.”
.
.
Peringkat pertama penilaian cara melihat, Harris tiada masalah, boleh kata ‘perfect score’. Saya lihat wajah ibunya mengangguk-angguk seakan berpuas hati dengan hasil ujian tersebut.

Tapi anaknya adu tak nampak jauh-jauh kan?

Tiba peringkat kedua, Harris mula menunjukkan hasil yang berbeza-beza setiap kali ujian yang sama dilakukan. ‘Pattern’ dia semakin merosot bacaan sehingga hanya mampu bertahan 3-4 kali sahaja.

Contohnya ketika melakukan ujian peringkat kedua, beliau ambil masa lebih dari 5-6 saat (normal 1-2 saat) untuk bagi imej bacaan jelas (setelah melihat imej bacaan yang jauh). Sehingga terpaksa geleng-gelengkan kepala sambil pejamkan mata secara bersungguh-sungguh.

Kali kedua ujian, ia telah menjadi 7-8 saat.

Jika diteruskan, mata Harris akan menjadi terlalu penat dan ini akan menyebabkan pandangan jauh beliau menjadi kabur.
.
.
Kesimpulannya, mata Harris lulus ujian sensitif mata, tetapi gagal dalam ujian yang melibatkan :

+ Kawalan terhadap pergerakan bola mata (Oculomotor).

+ Berapa pantas mata dapat hasilkan imej yang terang dan stabil (Accomodation Facility).

+ Tumpuan pada imej yang dilihat (Visual Attention)

+ Stamina mata untuk kekal melihat dengan terang an jelas.
.
.
Ujian peringkat ketiga, memberi kepastian yang beliau punyai masalah Convergence Insufficiency.
.
.
Masalah seperti Harris boleh dirawat  secara pasif (cermin mata) atau pun secara Aktif (terapi penglihatan).

Terapi pengihatan lebih bersifat ‘long lasting’ atau kekal lama. Rawatan itu bukan sahaja merawat, tetapi melatih pusat kawalan penglihatan (dan tubuh kita) iaitu otak, bagaimana caranya nak mengawal penglihatan dengan lebih baik dan cergas.

Tujuan rawatan adalah supaya mata :

+ Berdaya tahan untuk ‘bekerja’ sepanjang hari.

+ Tidak menggunakan ‘stamina’ melihat secara keterlaluan.

+ Keseluruhan sistem penglihatan dalam keadaan EFISEN. 
.
.

Ibu Harris telah bersetuju untuk mendapatkan rawatan di Rizal Optometris, setelah faham secara keseluruhan (‘big picture’) masalah dan rawatan yang terbaik untuk penglihatan anaknya.

Harris kini masih dalam rawatan.
.
.

Seperti yang saya tulis dalam artikel terdahulu, 

“Mata yang baik dan jelas (boleh membaca tahap carta VA 6/6), bukanlah jaminan PENGLIHATAN seseorang dalam keadaan yang BAIK. Walaupun setelah memakai cermin mata.”

“Penglihatan perlukan gabungan pergerakan bola mata dan sistem fokus yang tepat dan pantas, dan kawalan ke atas keseluruhan sistem penglihatan oleh otak dengan cekap.”

“Jika lulus semua ujian tersebut, SKILL PENGLIHATAN dalam keadaan yang terbaik. Barulah persekitaran kejayaan dapat diwujudkan.”
.
.

“Kejayaan dengan Penglihatan”

Shahrizal Redwan, Optometris.
Rizal Optometris Kuala Kangsar.

Khamis, 28 Januari 2016

Hati-hati bang… Guna komputer & gadjet pun boleh kena SINDROM CVS & DES!


Ni bukan buat-buat je sindrom ni. Kadang-kadang kita rasa kerja-kerja komputer ni bukanlah satu pekerjaan yang sesuai dengan kita. Kita ingat kita stress dengan kerja menimbun dekat ofis tu. Ada yang saya jumpa di praktis saya, ‘matanya’ kekal TERBELIAK seketika!

Maksud terbeliak tu bukannya mata terbuka luas setiap masa, tapi mata hitamnya (mata hitam = iris).

“Bila saya suluh lampu untuk tengok respon Iris dengan cahaya, dia buat ‘dek’ je.. Sah, iris ni dah TERBELIAK!”

Iris fungsi utamanya adalah untuk mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata. Bila dia dah tak respon dengan baik, atau tak boleh kecilkan bukaan untuk cahaya masuk, kita boleh gelarkannya KEJANG!

Paling banyak aduan bila kena fasa kejang ni adalah :

+ Kabur jauh dan dekat
+ Tak boleh banyak sangat cahaya sekitar (sensitif dengan cahaya).
+ Sakit kepala bila buat kerja komputer dan pening ketika membaca.
.
.

Sindrom CVS tu sebenarnya diambil dari perkataan bahasa inggeris ‘Computer Vision Syndrome’ (CVS).

Nama lainnya Digital Eye Strain (DES).

Jadi CVS dan DES ni sama sahaja konsepnya.
.
.

Ok, katalah kita memang banyak lihat komputer, smartphone, atau tablet. Macam mana nak tahu kita ada sindrom ni?

Hanya ada satu cara sahaja, jalani penilaian cara mata kita melihat secara ‘detail’. Kebiasaanya mengambil masa 20-30 minit untuk dilakukan oleh Optometris.

+ Temubual untuk siasat ciri-ciri yang mungkin dah ada sindrom ini dan perkara yang berkaitan.

+ Berapa sensitif mata untuk berada pada tahap standard mengikut jarak tertentu.

+ Pembetulan rabun refraksi (keadaan fizikal), untuk jarak jauh dan dekat. Ini termasuk juga rabun silau.

+ UJIAN KHAS : Bagaimana cara dan kualiti mata untuk fokus (bagi jelas imej), pergerakannya, dan bagaimana 2 mata bekerja sebagai satu unit atau sebagai satu pasukan.

Dengan 4 cara di atas, Optometris akan dapat mengenalpasti samada kita punyai sindrom ini atau tidak.

Barulah Optometris dapat beri cadangan rawatan yang sesuai dan berkesan kepada kita. Antaranya kanta termaju dari syarikat ESSILOR, dengan nama EyeZEN, dapat kurangkan masalah ini. 
.
.

Apa ciri-ciri yang ditunjukkan orang yang punyai sindrom ini?

+ Rasa senak di sekeliling bola mata.
+ Sakit Kepala.
+ Penglihatan kabur (lagi kabur lepas buat kerja berjam-jam dengan komputer)
+ Mata terasa kesat dan pedih (mata kering)
+ Sakit dibahagian belakang leher dan bahu.

Apa punca boleh berlakunya sindrom ini?

+ Pencahayaan yang kurang baik.
+ Pantulan cahaya silau daripada permukaan alat digital.
+ Jarak membaca/melihat skrin yang tidak sesuai.
+ Cara duduk (postur) ketika hadap komputer.
+ Rabun yang tidak dibetulkan.
+ Beberapa kombinasi dari faktor di atas.

“Dalam kebanyakan kes yang saya temui, Sindrom komputer ini berlaku kerana KEPERLUAN MELIHAT sesuatu telah melebihi KEMAMPUAN yang boleh dihasilkan oleh sistem penglihatan itu sendiri.”


Shahrizal Redwan
Rizal Optometris Kuala Kangsar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...