Rabu, 2 September 2015

Anak MARAH kerana cek mata di kedai keputusannya NORMAL !


"Mak dah tak sayang Adik! Mak suka marah adik! Adik susah nak tengok! Bila cek kat kedai semua kata mata adik ok! Tapi tak ok Mak! TAK OK!!" rintih hati kecil seorang anak.

Masalah 'melihat' bukanlah satu perkara yang mudah untuk digambarkan. Apatah lagi kalau anak kecil kita yang baru masuk ke dunia persekolahan.

Bola mata adik ke mana? Tu pun tak nampak?!"

Dialog ini banyak digunakan oleh ibubapa apabila sesi mengajar dilakukan pada anak-anak permata hati kurniaan Allah S.W.T ini.

Jika sedikit elemen emosi bernada keras semasa mengucapkannya, keyakinan anak-anak untuk menggambarkan situasinya akan terjejas. Berilah dorongan dengan kata-kata yang positif, lemah-lembut dan tunjukkan kita prihatin dengan aduannya. 

Pandang wajahnya dengan tenang, tunjukkan emosi kasih sayang kita dan dengarlah dengan penuh perhatian.

“Mula-mula adik nampak, lepas tu adik tak boleh nampak. Lepas adik pejam mata kuat-kuat, baru adik boleh baca buku yang Mama belikan. Bukan adik tak suka buku tu.”

Meruntunlah hati si ibu yang menyangka anaknya tidak suka akan hadiah hari lahirnya yang lalu. Sangkaan negatif adalah lumrah kehidupan, namun jika ia tidak dikawal, boleh memberi seribu satu penyesalan.

Catatkan setiap perkataannya dan jangan berputus asa untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Maklumat ini sangat penting kepada insan yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk menjadi PAKAR DALAM BIDANG PENGLIHATAN.

Golongan profesional ini dikenali sebagai OPTOMETRIS. 

Sesetengah ibubapa berasa yakin masalah anaknya tiada pertalian dengan penglihatan. Kerana secara fizikalnya, tiada sebarang kecacatan. Anggapan seperti inilah yang perlu di ubah kerana masa depan mereka terletak pada tangan ibubapa sendiri.

Reaksi ‘terkejut’ banyak ditunjukkan oleh ibubapa apabila proses khidmat nasihat diberikan. Permata hati mereka ini bukan sahaja mempunyai mata yang kurang sensitif, malah ia boleh membawa kepada SAKIT KEPALA yang berterusan jika tidak dirawat.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah Benar :

Anis, merupakan seorang pelajar berumur 7 tahun. Sejak dari hari pertama persekolahan, adik ini menunjukkan sikap yang tidak berminat untuk menyiapkan kerja sekolahnya. 

Ibunya mengadu adik ini agak ketinggalan berbanding rakan sekelasnya dari segi akademik. 

Setelah melakukan pemeriksaan penglihatan, Anis mempunyai struktur saiz bola mata yang lebih 'pendek' berbanding normal. 

Sistem fokusnya pula bekerja secara BERLEBIHAN bagi memperolehi imej yang stabil dan jelas.

Akibat dari 'proses' ini, penglihatan Anis mengalami kepenatan yang lebih cepat berbanding rakan sebayanya. Apabila mata menjadi terlalu penat, ia tidak dapat lagi menghasilkan imej yang jelas dan selesa.

Anis juga mengalami gangguan dari segi emosi dan motivasinya sebagai pelajar.

Saya memberikan beberapa pilihan mengikut kemampuan kepada ibunya agar masalah Anis ini dapat dirawati. Setelah dua kali temujanji, Anis menunjukkan respon yang positif dari rawatan yang diberikan. 

Alhamdulillah, hampir sebulan mendapatkan rawatan, adik ini telah kembali 'aktif' dengan dunia persekolahan. 

"Sekarang dia minat sangat mewarna, dan kerja sekolah pun suka buat tanpa di suruh." kata ibu Anis.

Saya perhati, penglihatan mempengaruhi seseorang untuk bersikap lebih positif. Anis dan ibunya memberikan senyuman berharga buat saya sebagai Optometris. Senyuman itu jugalah yang membuatkan hubungan antara ibu dan anak bertambah erat. Ia tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tidak Tahu

Anis tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan masalah yang dihadapi.

Ujian khas perlu dilakukan, bukan hanya sekadar menyuruh mereka membaca huruf atau nombor untuk mendapatkan 'power' mata.

Ciptakan ruang masa depan yang lebih cerah terhadap anak-anak.

Berjumpalah dengan Optometris bertauliah yang berhampiran dengan anda.

"Penglihatan yang sihat, seribu makna sepanjang hayat."


Optometris

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom Kongsi Pendapat Anda:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...