Selasa, 13 Oktober 2015

Al-Fatihah

“Pak Jambang!”
“Pak Jambang!”
“Pak Jambang”
Rakan mengejek di sekolah. 
“Ahhhh!! Pedulikan!” kata hati kecilku.
Aku tak buat salah. Aku tak kacau sesiapa.
Biarlah mereka mengejek ayahku yang setiap hari menghantar aku ke sekolah.
Setiap pagi ayah telah menunggu di luar dengan memakai baju sejuk askar kesukaannya.
Baju itu mungkin memberi kenangan ketika ayah berkhidmat sebagai tentera dalam divisyen Semboyan.
Topi keledar hitam berjalur emas di pakaikannya pada aku sebelum aku memanjat moto Honda EX5 nya.
Serius. Tidak bercakap.
Itulah 'belaiannya' yang aku ingat sehingga ke hari ini.
Aku akan memeluknya dibelakang dengan erat. Apabila pelukan aku semakin lemah, ayah tahu aku tertidur.
“Jai, bangun!” kata ayah sambil menepuk peha kiriku.
Aku jegilkan mata dan memegang kuat kembali baju sejuk ayah itu.
Angin sejuk mulai terasa ke seluruh tubuh sehingga bergetar gigi apabila bertemu.
“Pin! Pin!” bunyi hon motor ayah sambil tangan kiri di angkat setiap kali berselisih dengan kenalannya.
Uncle Bala, Uncle Ah seng, dan ramai lagi yang akan membalas lambaian tangan ayah.
Sangat menghormati orang lain.
Sangat menghargai hubungan persaudaraan.
Terima-kasih ayah, memberi pengajaran untuk hidup harmoni walau berlainan bangsa.
Insan seperti ayahlah menjadikan hari ini hari yang istimewa.
‘Selamat Hari Malaysia’. 16 September 2015.
Damailah Ayah disana. Al-Fatihah.

Khamis, 8 Oktober 2015

Deria MELIHAT - Adakah Lazy Eye itu BUTA?

Minggu lepas saya ada bagi talk dekat sekumpulan pelajar. Saya tanya mereka satu soalan, “Kita mempunyai 5 deria, jika diberi pilihan untuk pilih satu deria sahaja yang tinggal, deria apa yang akan kita pilih?”

Masing-masing pandang wajah rakan dekat sebelah. Ada juga yang berkerut dahi sambil tengok siling. Mungkin nak dapatkan ilham kot. Macam-macam gaya anak-anak ini.

Saya tanya pendapat beberapa orang murid dihadapan saya. Hanya dua orang yang beri jawapan berbeza. Yang lain jawapannya tetap sama. Mereka memilih deria MELIHAT. Bagi mereka deria melihat lebih penting dari segalanya. Ada pula yang cakap, kalau tak ada mata, bagaimana nak bawa motor? hahaha..

Banyak yang saya kongsikan secara mudah kehidupan seseorang yang mempunyai rabun. Bagaimana dia melihat objek yang jauh dan dekat, kenapa cermin mata adalah rakan baiknya, dan tip-tip untuk menjaga mata agar ia tidak cepat penat.

Dalam ceramah selama 30 minit itu, sempat juga saya bertanya soalan berkaitan dengan orang yang BUTA.

Bagaimana kita nak tolong ceritakan kepada orang yang buta ini apa yang kita nampak.

Saya terus beri dua contoh.

Pertama bagaimana rupa matahari terbenam?
Keduanya, bagaimana pula rupa sekuntum bunga?

Kita cuba lihat deria apa yang mereka ada. Kalau 4 deria yang lain masih ada dan berfungsi dengan baik, lebih mudah untuk mereka gambarkannya.

Matahari yang terbenam, umpama keadaan suhu yang ‘suam’. Kita sanggup melihat berjam-jam kerana fikiran kita menjadi kosong seperti tiada masalah dengan kehidupan seharian. Matahari yang bulat itu semakin hilang sikit demi sikit.

Jika kita memegang kelopak bunga pula, permukaannya bila disentuh menyebabkan perasaan menjadi tenang. Baunya yang harum akan memberikan perasaan yang damai dan selesa. Bila melihat rupanya, perasaan tenang dan damai juga terasa.

Ikutlah kreativiti kita sendiri. Mereka akan sangat menghargainya.

Ada juga orang yang mata sebelahnya buta. Memang boleh melihat, tetapi mereka mempunyai satu kekurangan. Mereka tidak tahu berapa jarak sesuatu objek dengan tepat. Mungkin tak tahu mana objek yang lagi jauh dari objek yang lain. Tetapi kemahiran ini akan sentiasa diperbaiki dengan cara yang tersendiri. Contohnya, jauhnya objek adalah berdasarkan kedudukan bayang-bayangnya.

Kalau ada rakan kita yang susah nak faham tentang jarak ni, kita tunjukkan caranya.

Letak 3 objek dan susun sebaris menjauhi setiap darinya. Tunjuk mana yang dekat, mana yang lebih jauh.

Apa pentingnya kemahiran menganggar jarak ini? 

Kalau kita bawa kereta, kita tahu jarak selamat dari kereta hadapan.

Kalau kita naik basikal pula, kita boleh tahu berapa dekat lopak yang perlu kita elak dan bila masa yang sesuai untuk membelok.

Habis talk, saya berbual sebentar dengan Cikgu Jefry sambil menjamu secawan teh-o
dan kuih. Beliau merupakan guru pengiring program talk tadi. Cikgu Jefry bertanya satu soalan pada saya.

“Saya ada seorang murid yang ada Lazy Eye, itu dikira buta ke?”
“Bukan buta cikgu. Mata masih lagi boleh menerima cahaya. Jika dirawat awal, ia akan kembali normal semula."

Mata yang punyai Lazy Eye bukanlah BUTA jika diambil kira keseluruhan kompenan melihat. Lazy Eye hanya hanya memberi kesan pada bahagian tengah penglihatan. Bahagian ‘peripheral awareness’ tetap sama.

Saya cerita pula kisah adik Irfan. Berumur 6 tahun dan memang mempunyai Lazy Eye pada mata kanannya. 

Ibunya kata kalau suruh baca ‘singboard’, Irfan tak ada masalah untuk baca dengan lancar. Tetapi bila buat persembahan dengan watak sebagai ‘pirate’ (mata kiri ditutup) baru-baru ini, Irfan mengadu matanya tak nampak terang.

Setelah hampir 15 minit saya menilai kualiti penglihatan Irfan, saya bagi penerangan yang mudah pada ibu Irfan.

"Kalau Irfan tengok pakai dua-dua mata, penglihatannya nampak normal. Tapi, jika mata kirinya ditutup, 4 baris carta huruf sukar untuk Irfan baca. Walaupun power rabunnya yang tinggi telah diberi.”

Saya juga menerangkan beberapa tip yang boleh dibuat bagi membantu Irfan.

Bila keluar dari bilik cek mata, ibu Irfan terus menelefon suaminya. Keputusan bersama telah dibuat, Irfan PERLUKAN RAWATAN.

Berseri wajah Irfan bila ibunya kata nak buat cermin mata untuk Irfan. 

Selepas 3 kali temujanji, Irfan dah tunjukkan tanda-tanda positif untuk matanya kembali SENSITIF. Mata kanannya sudah boleh baca huruf yang lebih kecil. SYABAS IRFAN!
--------------------------------------------

“Kalau bukan buta, Lazy Eye ni apa?”
Mata yang Lazy Eye menghasilkan imej yang kurang baik. Bila 2 mata menghasilkan imej yang berbeza (satu imej baik dan satu lagi imej kurang baik), sukar untuk hasilkan satu imej yang baik dan stabil. Lama kelamaan ia akan dilupakan ( atau tidak berfungsi ) kerana mengganggu proses melihat.

Senang cerita macam ni, ia seperti LAMPU SULUH yang tiada wayar untuk hubungkan antara mentol dan bateri. Macam mana nak bernyala kan?

Wayar adalah ‘LALUAN SARAF' untuk menghantar rangsangan imej ke otak. Mentol pula adalah 'MATA yang sihat'. Bateri pula adalah 'OTAK yang memproses imej’.

Walaupun kesemua kompenan penglihatan sihat, laluan rangsangan ke otak tidak lengkap terbina kerana 
+ saraf bahagian belakang bola mata terhalang. Contohnya selaput (katarak) atau pendarahan dalam mata sejak lahir. Saraf mata tidak tahu apa itu imej yang terang.
+ Kelopak mata tertutup sebelah. (Ptosis)
+ Power rabun yang tinggi pada satu mata. 
+ Astigmatisma / Silau yang tinggi. 

Jika Lazy Eye ini dapat dikesan dengan lebih awal, rawatan yang diberi akan memberikan kejayaan.
Kadar kejayaan lebih tinggi pada anak-anak yang berumur kurang dari 7 - 9 tahun.
Nantikan tip-tip bagaimana nak cek mata anak anda dengan mudah pada artikel yang akan datang.
Insha Allah.
"Hari Penglihatan Sedunia 2015"
Hari yang penuh makna pada insan yang menghargai cara MELIHAT dengan baik!


Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris.

Selasa, 15 September 2015

Sunglasses untuk orang rabun

Tengok orang pakai Ray Ban, kita pun teringin juga nak pakai. 
Ada yang dah macam Shah Rukh Khan, Faizal Tahir, Neelofa, Nora Danish, dan berbagai artis lagi. 
Apakan daya, rabun ini menghalang cita-cita untuk kelihatan SEPERTI ARTIS.

Takpa, jangan sedih-sedih. Kan orang yang pakai cermin mata ni bijak? Tak bijak dekat sekolah, bijak dalam bisnes, memasak, mahupun dalam urus rumahtangga. Sebab itu saya sentiasa berpendapat setiap orang itu dilahirkan istimewa untuk hidup saling melengkapi antara satu sama lain. 

Berbalik kepada yang mempunyai rabun, terdapat beberapa cara untuk kita memakai kaca mata Hitam supaya boleh la bergaya dengan jenama seperti Ray Ban, Bonia, Alfio Raldo mahupun Adidas sunglasses. 

Jom kita jadi BIJAK dengan tahu apa cara yang ada dan tips-tipsnya :

+ Tukar kanta asal dengan kanta 'tinted' berpower - Kanta ini diwarnakan mengikut kadar gelap yang kita mahukan. Ia paling popular dan 'budget' lah sikit. Harga dalam RM 100 keatas (ikut power juga). Lebih baik jika yang ada versi 'antiglare'.

+ Guna 'contact lens' (CL) - Ini antara alasan kuat kenapa seseorang itu nak pakai CL. Masa drive, keluar makan tengah hari, atau main Golf, tak jadi masalah lagi nak pakai sunglass.

+ Guna kanta Crizal Transitions : Versi kanta boleh bertukar gelap mengikut teriknya matahari. Boleh dipakai setiap masa kerana ia menjadi kanta biasa (jernih) di tempat redup. Cuma ia dalam 60% gelapnya berbanding sunglass 85%. (Dalam kereta tak gelap ya.)

+ Guna aksesori 'Clip On' atau sunglass 'Flip Over' - Alat ini dipasang pada cermin mata sedia ada. Clip On dipasang dihadapan cermin manakala Flip Over adalah sunglass yang disarungkan sekali.

Tahu tak kalau buat cermin mata sunglass bertinted, boleh sakit kepala, pening dan rasa macam 'khayal' bila dipakai? Nanti saya kongsikan tips pilih sunglass untuk letak kanta berpower. Like page Rizal Optometris ya. 

Shahrizal Redwan
smile emoticoShahrizal Redwan. Rizal Optometris.

(Gambar : Shah Rukh Khan dalam cerita apa ni?)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...