Jumaat, 30 Oktober 2015

Lakukan ini, baru anda boleh memiliki cermin mata BERPASANG-PASANG dalam satu masa.


Cermin mata ni ada beberapa 'pantang larang' dia kalau anda nak ada 2-3 pasang cermin mata dalam satu masa.

Sebelum tu, kenapa pula nak kena ada banyak-banyak pasang nih? Ikut budget, ikut penggunaan. Ada pelanggan saya sampai 13 pasang cermin mata. Apa dia kata,

"Dulu saya nak beli cermin mata pun tak mampu, sekarang ni saya nak tebus balik!"

Tu dia. Dendam kesumat. Hehehe..

Saya ambil contoh pelanggan yang ada 3 pasang cermin mata :

Satu pasang ni untuk pergi ofis.
(Mesti yang paling SUPER cun!)

Satu pasang lagi untuk SUKAN.
Murah pun takpa, kena hentam dengan bola Futsal pun boleh senyum je dengan mata sakit-sakit. Hehehe.. Saya pernah kena ooo. Sampai ke sudah tak main dah. 

Satu pasang lagi untuk kurangkan 'sindrom komputer'. (contoh kanta Kodak UVBlue). Bila 'surf' dekat smartphone lama-lama pun tak apa. Tak ada la sakit sangat dekat bahagian kening tu.
.
.
.
Lakukan tip ini supaya anda tetap rasa selesa bila pakai mana-mana 'KOLEKSI' cermin mata anda.

+ Kena cakap dekat Optometris, "Tolong pastikan 'PD' saya sama untuk semua cermin mata. Cantik lagi tolong ikut PD dengan tanda secara MANUAL. (Cakap la dengan nada KELAS sikit... "i nak you tolong buat betul-betul..." Hahaha... Baru ada kelas you..)

+ Indeks cermin mesti sama. Kalau berlainan, anda akan rasa seperti 'SENAK MATA yang MENGKHAYALKAN'. Kalau cun lagi ambil yang ada 'Abbe Filter' seperti kanta NIKON. Lagi selesa.

+ Kelengkungan bingkai juga kena lebih kurang sama. Supaya 'Prismatic Effect' tak banyak terasa. Kesan ni seperti kita suruh pergi tengok sana, dia asyik nak tengok tempat lain. Macam main 'bowling buah kelapa' masa sukaneka. Hahaha. Saya memang tak pandai main!

+ Pastikan semua kanta koleksi cermin mata anda ada 'Antireflactive Coatings'. Kalau tak, mata terpaksa bekerja lebih. Penat nak tapis cahaya yang banyak-banyak tu.

+ Jenis design cermin mesti sama. Contohnya kalau design 'Aspheric', jangan campurkan dengan design 'Spheric'. Berpinar mata bila bertukar-tukar pakai.

5 tip di atas sentiasa menjadi syarat utama bila pelanggan saya membeli di Rizal Optometris. Semoga perkongsian ini menyebabkan 'Tawkey' kedai cermin mata akan rasa respect pada anda. Kira pakarlah. smile emoticon

"Pakar yang paling orang suka, bila dia sendiri mencipta PENGALAMANnya sendiri."

Shahrizal Redwan.
Optometris.

Pelajar PINTAR yang TERUSIR.


Pintar dalam pelajaran adalah satu anugerah yang sangat kita banggakan sebagai ibubapa. Bila ibubapa mendapat tahu ‘result’ peperiksaan anaknya semakin merosot, adakah dengan memarahinya dapat selesaikan masalah? 

Hantar tuisyen waktu malam, beli buku latihan banyak-banyak. 

Pernah tak terfikir sebenarnya mata anak-anak ini telah terbeban hari demi hari?

Baru-baru ini saya ada jemputan daripada pihak sekolah sebagai tetamu jemputan Hari Anugerah Kecermerlangan Akademik.

Sekolah ini bukanlah dari sekolah ‘elit’ yang mendapat layanan istimewa dari pelbagai pihak. Biasa-biasa sahaja. 

Paling kagum pada saya adalah bagaimana guru-guru disini menunjukkan semangat juang yang sangat tinggi untuk melihat anak-anak muridnya berjaya.
.
.
Apabila diberi peluang berucap, saya menggunakan masa yang berharga ini untuk menerangkan 5 isu yang patut dijadikan panduan. Jika isu ini dapat diatasi, pelajar akan dapat melakukan peperiksaan dengan lebih cemerlang.

Isu yang pertama.
Pelajar yang dahulunya pintar kini tersisih dari menjadi pelajar harapan. Guru dan ibubapa rasa pasti ada 'sesuatu' penyebab atau puncanya. Tetapi tiada jawapan.

Isu yang kedua.
Gaya tulisan pelajar seperti ‘cakar ayam’ yang PELIK. 

Isu yang ketiga.
Pelajar yang mempunyai aduan SAKIT KEPALA yang agak kerap. Terutama jika aduannya pada waktu tengah hari dan selepas pulang dari sekolah.

Isu yang keempat.
Bila membaca kena banyak kali pejam mata untuk bagi nampak terang pada jarak dekat terutamanya.

Isu yang kelima.
Kemahiran sukan yang terlalu lemah. Bila melakukan aktiviti menangkap bola pun pelajar ini tidak dapat buat dengan baik. Walau telah di ajar berkali-kali.

Semua isu di atas mempunyai satu persamaan yang sangat ketara.

Pelajar ini mempunyai MASALAH PENGLIHATAN yang serius.

Masalah penglihatan bukan sahaja tertumpu kepada RABUN sahaja. Penglihatan yang sihat dan cekap ketika belajar dipengaruhi oleh 
+ struktur bola mata, 
+ otot yang mengawal kejelasan tulisan,
+ ketahanan melakukan aktiviti menyalin nota
+ kemahiran-kemahiran lain yang perlu dinilaikan oleh Optometris yang berpengalaman.

Kajian yang di lakukan oleh sebuah universiti tempatan, ibubapa hanya membawa anak untuk pemeriksaan mata selepas mereka membuat aduan.

Ada pelajar yang saya nilaikan kemahiran belajarnya baru-baru ini, beliau langsung tidak mempunyai sebarang RABUN.

Jika tiada pengalaman, ‘tukang cek mata’ akan cakap,

“Mata ok lagi. Tak perlu pakai cermin mata.”

Sebenarnya pelajar ini mempunyai kemahiran melihat di dalam kelas pada tahap yang membimbangkan jika tidak dirawat.


Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris

Khamis, 29 Oktober 2015

Wanita Muslimah : FESYEN TUDUNG tenggelam kerana CERMIN MATA!


"Ok, cuba Wani pakai yang tadi, rasa tu nampak cantik lagi. Oh ni tak boleh! Nampak besar, habis tudung. Kena cari yang tak berapa kembang tudung bila pakai spek."

Kalau nak masuk balik ofis pukul 2 petang, mestilah nak kena pilih cepat-cepat mana yang sesuai kan? 

Saya kongsi tip-tip nak pilih cermin mata yang ok bagi wanita muslimah yang bertudung.

+ Saiz mesti betul. Pilih saiz yang tak bagi kembang sangat. Versi spek khas untuk yang 'bertudung' pun ada. 'Sempadan' antara kaki dan badannya lebih rapat. Kelebihannya : Boleh ambil saiz spek yang besar sikit kerana ia dah jadi 'trend' sekarang. 
smile emoticon

+ 'Kaki' bingkai pilih dari yang 'one piece'. Maksudnya dia tak ada part yang bersambung. Kalau ada, tak jadi masalah kalau ia rapat 'kemas'. Jika tak, bila nak tanggalkan spek, rambut anda sekali ditarik keluar dari tudung. Arghh.... Aurat Ana! Aurat Ana!

+ Kalau kita jenis yang suka spek besar-besar, tak ada masalah. Ambil yang keras sikit contohnya dari Acetate. Tak kesah cara pakai spek dekat luar atau dalam, kalau ambil yang lembut atau 'flexible' sikit, bahagian tengah spek seakan 'terbengkok'. Tak berapa comel dah nanti!

+ Adjust sikit kaki spek bila nak mencubanya. Pernah tak kita cakap "Macam ni lah spek yang aku cari. Cantik sangat!" Try-try tak boleh nak 'masuk'. Kecewa, patah hati.. (sob..sob..). Minta Optometris tu adjust! Barulah anda boleh pakai dengan selesa seperti dunia anda bersinar kembali. Macam OST kat TV3 pula. Hehehe..

+ Warna spek kena 'match' dengan semua warna tudung. Mudah sahaja. Ambil yang gelap-gelap sikit. Dark Maroon, Dark Brown, Dark Blue antara contoh-contoh warna yang boleh match. Nampak tak? Semua DARK kan? Kalau warna EMAS lain sikit kategori. Boleh masuk semua warna tudung. Sebab ia wana yang psikologinya ada ciri HIGH CLASS.

+ Pilih bingkai yang guna teknik 'ion plating' untuk warnakan badannya. Bila tudung selalu bergeser dengan kaki spek, warnanya tak mudah pudar. Paling penting sekali tudung 'Pearl Haya', 'Fareeda', 'Ariani' dan yang harga ratus-ratus tu tak mudah ROSAK. Abang-abang kena faham, kepuasan pakai tu lebih mahal dari harganya. Hehehe..

+ Pakai spek dekat LUAR TUDUNG. Ni fesyen yang popular pada remaja-remaja sekarang. Kalau selalu buat style ni, ambil spek yang ada SPRING. Kuat sikit kaki spek tu 'memeluk' tudung yang anda pakai.

+ Kanta spek wajib ambil yang ada 'antihabuk' (kantanya kurang sifat 'ELEKTROSTATIK' yang kalau tiada, habuk di udara mudah melekat dekat kanta). Bedak muka dan maskara tak ada lah selalu melekat dekat kanta. Kalau terjadi pun, 2-3 kali lap pun dah hilang! Contohnya jenama CRIZAL dari Essilor.

Ada kira tak berapa tip kat atas tu? 
Cepat kira...hehehe..
Ada 8 semuanya. Saya rasa cukuplah untuk tahu secara asas oleh semua wanita yang bercermin mata.
Nanti saya kongsi lagi tip yang lain ya.

"Cermin mata bila match dengan TUDUNG, ia gabungan FESYEN yang UNIK di wajah anda. Bertambah CANTIK, bertambah SERI dan rasa dalaman yang amat HEBAT!"
Phewww... Saya pula yang terlebih semangat. Hahahaha..
Gambar : 'Baby besar'. LELAKI umur 2 tahun.

Shahrizal Redwan.
Optometris.

10 tip MUDAH untuk memilih cermin mata yang SESUAI dengan anda.

Jika dah tiba masanya anda nak tukar cermin mata baru, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu. Ini bagi seimbangkan antara 'style' dan selesa ketika memakai cermin mata anda.

Banyak pelanggan bertanya mengenai perkara ini. Sebenarnya ia cukup mudah untuk dilakukan :

+ Pilih saiz yang sesuai dahulu, baru pilih 'STYLE'. Ramai daripada kita selalunya memilih style dahulu daripada saiz cermin mata. Cara ini bukan sahaja salah, ia boleh menyebabkan style tu tak menonjol. Tidak terlalu besar, tidak terlalu kecil.

+ Boleh liputi ruang medan penglihatan dengan baik. Apabila kita mencubanya, pastikan tiada 'ruang kosong' terlalu banyak bila kita memandang ke sisi, atas dan bawah.

+ Bila 'try' cermin mata masa nak tempah, pastikan bulu mata tak kena cermin. Mudah, saja untuk tahu, kelipkan mata berkali-kali. Kena berhati-hati ya, jika bingkai anda plastik, dah tak boleh buat 'adjustment' untuk baiki keadaan ini.

+ Kaki cermin mata tidak terlalu menekan sisi wajah dan belakang telinga tidak terlalu 'menekan'. Kalau dah suka bingkai dipilih, cuba try pakai dalam 5 minit. Kalau dia ketat, kita mula rasa tak selesa. Minta optometris buat adjustment atau tukar frame yang lain.

+ Nose pad boleh laras (ada kaki) wajib dipilih bagi yang memiliki hidung yang tak berapa 'tinggi'. Kalau tak, selalulah bingkai bahagian atas tu melurut ke bawah dan pandangan jauh anda menjadi tidak puas.

+ Pastikan cerminnya mempunyai 'antireflection coatings'. Kalau ada ni boleh bagi cermin nampak lebih jernih dan pandangan kurang berbayang bila terdedah pada sumber cahaya yang banyak. Tahan dari calar, tak mudah berhabuk, tak mudah 'basah' dan permukaan yang sangat licin ada disertakan sekali bagi cermin yang berkualiti tinggi.

+ Indek atau kepadatan cermin yang sesuai dengan power anda. Maksudnya, cermin perlu dinipiskan mengikut tinggi power rabun anda.

+ 'Material' cermin haruslah sesuai dengan aktiviti harian dan jenis bingkai. Paling popular adalah plastik. Ia ringan dan lebih tahan pecah 3 kali ganda berbanding kaca. 
+ Gunakan cermin 'polikarbonat' jika anda jenis yang lasak. Salah satu sifat cermin ini, ia boleh bertahan dari impak dan regangan sehingga 12 kali dari cermin mata plastik yang biasa. Banyak tu! Jenis tak ada frame dekat keliling cermin sangat sesuai untuk cermin jenis ini.
+ Warna frame sesuai dengan kerja dan perwatakan anda. Ini kena jaga betul-betul ya. Terutama yang banyak jumpa klien. Kita nak nampak serius dengan kerja kita, kalau dah cermin mata pun dah macam 'enjoy' sangat, susah nanti nak 'deal' sesuatu projek. 

Semoga tip mudah ini dapat membantu sahabat mencari cermin mata yang 'match' dengan anda. Boleh kata 'pasangan hidup' lah. Hahaha.. Insha Allah, kalau pandai pilih, jodoh anda akan berkekalan bertahun lamanya.

Gambar : ADIDAS Eyewear.

Shahrizal Redwan.
Optometris di Rizal Optometris.

Jika anda suka tanggal cermin mata masa MEMBACA, POWER mungkin terlebih.



Kita rasa situasi yang biasa bila seseorang itu membaca, beliau akan menanggalkan cermin matanya. Jika anda selalu buat begini, power cermin mata anda mungkin dah terlebih!

Kes di atas hanya menjadi isu bila anda belum lagi berumur 40an. Saya ada berjumpa dengan seorang pelajar, Erni, 22 tahun, yang rasa tiada masalah langsung dengan cermin matanya.

“Pakai cermin mata ni ok. Terang lagi. Cuma bila buat kerja-kerja dekat komputer, saya lagi suka tanggalkannya.”


Fasa pertama saya cari powernya yang ‘cukup-cukup’ untuk dia nampak terang.
Hasil : Power perlu dikurangkan 50%.

Fasa kedua pula, saya nilaikan aktiviti melihat beliau pada semua jarak dengan power yang dipakai pada cermin matanya.
Hasil : 2 kali ganda otot matanya terpaksa bekerja.

Kesimpulannya:
SISTEM PENGLIHATAN pelajar ini dah serasi dengan power cermin matanya. 
Bila kita melihat jarak jauh, boleh dikatakan semua otot mata kita dalam keadaan rehat. Hanya perlu bekerja bila lihat jarak yang dekat.
Mata Erni tidak lagi berehat sepenuhnya ketika melihat pada jarak jauh. ‘Bebanan’ ini lebih terasa apabila melakukan aktiviti pada jarak yang lebih dekat.
Sebab itu cara mudah nak bagi mata tidak rasa senak dan penat dalam kes ini, adalah dengan menanggalkan cermin matanya!


Rawatan :
Cermin mata khas dengan mengambil kira jarak dekatnya.
Setelah lebih kurang seminggu Erni memakai cermin mata khas ini, beliau sudah boleh buat kerja-kerja komputernya dengan lebih lama. Paling penting sekali Erni dah tak perlu tanggalkan cermin matanya!


Shahrizal Redwan.
Optometris.

Jumaat, 23 Oktober 2015

Sebab Pelanggan Membeli

Bila saya jalan-jalan pergi makan, perkara yang paling best jadi ialah bila orang paling besar (manager) dekat tempat tu sapa saya,
"Macam mana makanan Tuan, semuanya ok tak?"

Bila bertanya, dia tundukkan sikit badannya seolah-olah memberi memberi penghormatan kepada Maharaja Empayar sebuah Dinasti. Hehehehe..
"Enjoy your food ya."

Mudahnya dia ambil perhatian saya.
Mudahnya dia tanamkan imej yang buat saya teringat-ingat akan layanannya.
Mudahnya dia buat 'free marketing' supaya saya rasa ingin nak datang lagi.
Bayar makan untuk famili kecil saya tak sampai RM 50. Tapi layanan macam makan besar dekat hotel.

Kadang-kadang saya asyik nak buat marketing yang mahal-mahal. Iklan dekat suratkhabar, tv, sponsor, dan iklan cetak beribu-ribu siap dengan edaran sekali.
Kalau buat tu, mesti rasa sale akan 'gegar bumbung'. Mungkin akan menjadi tapi ia sebenarnya tak 'kekal'. Betul-betul jadi dekat saya.

Customer sekarang lebih suka membeli kerana 'experiance' yang dia takkan lupa. Bukan harga semata-mata.

Survival bisnes juga bergantung kepada berapa banyak 'regular customer'. Dia beli berulang-ulang.
"Suka beli dekat sini. Rasa dah macam banyak tahu pula pasal spek. Hahahaha.."

Saya perhati pelanggan ni ada beberapa jenis :
+ Segala-galanya tentang HARGA. 
+ Suka membeli kerana 'interpersonal' penjual tu.
+ Suka datang sebab kita boleh jawab soalan dia dengan cara lebih baik seperti soalan 'Apa beza cermin mata MAHAL dengan yang MURAH?' Jawapan kita kena ikut psikologi orang tu ya..
+ Jenis yang suka bila 'kita tak terlalu nak MENJUAL'. Kalau kita sebut sekali produk tu, macam tak nak jual je, lagi dia berminat nak beli. Tapi ada la teknik betulnya. smile emoticon
+ Suka 'freegift'.
+ Anak-anak dia SERASI dengan penjual. Tunggang langgang kedai anak dia buat pun dia tak kesah sebab tau 'owner kedai' ni COOL je... 

Saya hanya berkongsi dari pengalaman saya yang tak sehebat mana. Dengan ekonomi yang sangat mencabar sekarang ni kita kadang-kadang TERDESAK nak 'survive'. 

Tak perlu buat macam syarikat korporat yang besar-besar. Marketing yang hebat tak semestinya kena buat yang MAHAL-MAHAL. 

"BERUNDUR untuk susun semula STRATEGI, jauh lebih baik dari berperang dengan STRATEGI YANG SALAH."

Semoga bisnes sahabat sentiasa berdaya MAJU.

Khamis, 22 Oktober 2015

STRESS yang dialami oleh WANITA yang memakai CERMIN MATA.

Tajuk ni wanita suka. Manalah tahu, perasaan stress yang dialami mungkin dah jadi dekat diri-sendiri. 

Abang-abang pula kenalah faham ya supaya kita ni nampak lebih ‘caring’. You are My Heart kata orang putih. Hehehe..

Banyak aspek perlu dilihat oleh wanita yang mahu membeli sepasang cermin mata baru setiap kali tiba masanya. 

Bagi yang dah pakai bertahun-tahun dah tak jadi masalah sebab dah tahu apa yang akan berlaku. Tetapi ada juga yang tersilap langkah sampai diri stress melangit.

Saya kongsikan pengalaman wanita yang mungkin akan rasa stress bila dah pakai cermin mata.

#1. Pilih cermin mata baru ni seperti nak pilih rumah baru.
Saya tak nafikan perasaan ini. Mereka cukup berhati-hati kerana cermin mata melambangkan siapa diri kita. Nak rasa bangga pakai seperti emas yang disarungkan di lengan. Paling penting tak nak diketawakan.

#2. Perlu lap cermin mata selalu.
Bila ditanya mengapa cermin mata ni banyak calar “Akak lap pakai tudung. Tak apa rasanya, tudung akak kainnya lembut-lembut.”
Siapa ada buat angkat tangan.. Hehehe.. Kalau cermin kotor sebab terkena ‘maskara’ jangan dilap pula dengan tudung ye, habis tompok-tompok hitam pula nanti. smile emoticon

#3. Aktiviti tertentu sesuatu yang 'sangat tak best’.
Suka tak berkebun? Bersedialah untuk cermin mata melorot ke bawah hidung. Suka mandi dekat laut? Mana boleh pakai cermin mata masa berenang. Pakai ‘MASK’ masa JEREBU? Cermin mata asyik berlaga dengan ‘mask’.

#4. Tiap-tiap kali lepas mandi mesti nak tanya soalan ni.
“Tadi aku pakai shampoo ke atau pakai conditioner masa basuh rambut? Dah la botolnya warna sama.” 

#5. Bila orang lain saja nak try cermin mata kita : “Kuatnya power kamu! Kalau macam ni punya power, boleh buta ni.” Tolong pulangkan balik cermin mata saya!

#6. PARUT dekat hidung. 
Tempat bingkai bersentuhan dengan hidung. Lagi tebal cermin, lagi berat rasa, lagi hitam parut ni!

#7. Selalunya kita pakai cermin mata. Tapi hari ni saja nak try pakai contact lens. Masuk ofis - ORANG TAK KENAL!

#8. Tudung nampak kembang! 
Walaupun dah berhati-hati pilih masa tempah cermin mata, kenapa la tudung ni nampak kembang lagi? Kan ni tudung Neelofa! 

#9. Muka nampak lagi TEMBAM bila pakai cermin mata. “Kenapa bila kamu pakai cermin mata baru ni nampak pelik? Kamu perasan tak?” Soalan berlapik nampak.

Itu baru 9 yang saya dapat listkan. Saya percaya senarainya akan semakin panjang kerana 
PENGALAMAN SESEORANG ADALAH UNIK”

Rabu, 21 Oktober 2015

Cermin mata TEBAL : Tip membeli untuk RABUN TINGGI.


Hari ini nak pergi ambil cermin mata. Seronok tak ingat dah. Dah 4 hari tunggu sejak tempah. Bila pergi ambil, rasa GERAM, nak MARAH! Dah ambil cermin yang nipis, tapi kenapa tebal lagi?

Sebelum kita beri kpercayaan kepada penjual cermin mata, jom ikut tips ni supaya tak 'terbeli' cermin mata yang tebal.

+ Pastikan kedudukan mata hitam berada pada bahagian tengah frame yang dicuba.

+ Pilih saiz sederhana (bawah 50mm). Lagi besar saiz, bertambah berat dan tebal kanta nanti.

+ Frame plastik dari jenis Acetate, boleh menyorokkan sedikit kanta yang tebal. Barulah tak banyak sangat kanta yang 'terkeluar'.

+ Minta Index yang lebih tinggi. Ia bermula dengan index 1.6. Lagi tinggi nilainya, lagi nipis cermin. Tetapi harus ingat, harganya juga akan lebih mahal.

+ Jadikan design 'Aspehric' satu pilihan. Nikon ada mengeluarkan produk yang mempunyai 'Double Aspheric Design'. Dengan mengurangkan kelengkungan cermin, kanta akan menjadi nipis.

+ 'Antireflactive Coatings' wajib dipilih kerana ia akan menjadikan kanta lebih jernih. Orang yang tengok kita dari jarak 50 meter akan tak perasan sangat ketebalan cermin mata kita.

+ Minta 'polishkan' keliling cermin pada penjual. Cakap saya nak 'real polish', bukan 'semi polish'. Mungkin kena extra charge. Walaupun anda pilih frame yang ada bingkai keliling kanta.

Tip ini sangat berguna untuk sahabat yang ingin nampak konfiden depan orang ramai. Boleh pm untuk pertanyaan ya. smile emoticon


Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris.

Selasa, 20 Oktober 2015

3 sebab kenapa kita anggap cermin mata tu MAHAL



Kalau saya sebut harganya RM 500, ada yang akan kata "Woit! Mahal betul!". Ada orang lain pula cakap "Padanlah dengan harganya. Berbaloi." Kenapa ya macam tu?
Kalau harga adalah ukurannya, memanglah 500 lebih mahal dari 100.
Jom tengok kenapa cermin mata tu rasa mahal sangat!

# Sejarah pembelian dahulu.
-----------------------------
Kalau sejak 10 tahun dahulu saya beli cermin mata dengan harga 200 ringgit, tetiba pergi beli dengan harga 300 ringgit. 
Mahal! Memang rasa mahal sebab cermin dan bingkai pun nampak macam sama je.
Penjual cermin mata kenalah menjual NILAI yang akan diperoleh oleh pelanggan. Bukan ciri-ciri. Paling kurang bagilah flyers iklan berkaitan produk yang pelanggan dah beli tu.

# Tak tahu kelebihan yang ada pada cermin mata.
--------------------------------------------------------------------
Pernah tak terjadi bila kita pakai cermin mata baru, kawan-kawan tanya harga, dan kita dengan bangganya cakap 
"RM 1,200! Aku bayar cash tau." 
Bila kawan tanya kenapa mahal sangat, kita jawab 
"Sebab ini yang terbaik!"
Macam ayat tak lengkapkan? Habis member kata kita tak pandai beli dan mahal. Padahal cermin mata tu jenis yang tak boleh pecah walau dipijak sekuat-kuatnya! 

# Penjual tu teruk!
-----------------------
Biasanya 'mukadimah' nak jual tu tak betul. 
Baru pakai smart sikit macam Enrique Iglesias, habis ditunjuknya yang mahal-mahal.
"Abang elok pakai jenama Sillhoutte, gabung dengan cermin yang tak boleh pecah, baru RM 1800."
Amboi dik, abang nak beli untuk buat pergi mancing je ni. 
Tunjuk yang budget dulu, tanya-tanya sikit, barulah tunjuk yang berjenama punya. 
Pengenalan, Isi & Kesimpulan. (macam nak buat karangan pula. hehehe..)


Isnin, 19 Oktober 2015

11 Fakta yang anda mungkin tidak tahu tentang Ray Ban!




Sebagai peminat tegar Ray Ban, anda pasti mengetahui tentang model seperti Wayfarer, Aviator dan SHOOTER. Ia antara model terawal yang sangat popular hingga ke hari ini. Jika anda memiliki model ini, sememangnya anda boleh dianggap 'legend'! Tapi anda boleh jadi SUPER LEGEND, kalau anda tahu fakta yang tak ramai yang tahu mengenai RAY BAN!

1. Ray Ban Aviator dianggap sebagai 'alat' yang wajib dipakai oleh juruterbang Amerika.
Apabila Juruterbang Amerika dapat terbang lebih tinggi dengan teknologi kapal terbangnya, mereka mengalami sakit kepala akibat dari cahaya matahari yang sangat terang. Jeneral John McReady memanggil syarikat Boush & Lomb untuk menghasilkan cermin mata gelap khas untuk juruterbangnya. Lahirlah Ray Ban Aviator buat pertama kalinya.

2. Orang pertama yang mempopularkan Ray Ban Aviator bukanlah artis. 
Ia dilakukan oleh seorang lelaki bernama Douglas McArthur. Seorang tentera berpangkat Jeneral. Beliau memakai Ray Ban Aviator semasa gambarnya ditangkap oleh wartawan sebaik sahaja tiba di Filipina ketika Perang Dunia Ke-2.

3. Kanta Ray Ban yang pertama diperbuat dari plastik.
Peperangan di langit banyak melibatkan warna biru dan putih yang terang. Kanta plastik yang diwarnakan hijau gelap memberi gabungan yang selesa untuk mata. Selepas beberapa tahun, barulah ia digantikan dengan cermin kaca yang lebih jernih dan tidak memenatkan mata. Lebih 80% kanta Ray Ban Aviator kini masih dibuat dari kaca!

4. Ray Ban menghasilkan kanta boleh berubah warna mengikut terangnya cahaya matahari terlebih dahulu dari syarikat Transitions! Transitions cermin autogelap amat popular untuk orang yang menggunakan cermin mata bagi 'merawat' rabunnya.

5. Ray Ban SHOOTER - Gegelung bulat di tengahnya adalah untuk memegang ROKOK.
Percaya atau tidak, ia memudahkan tentera menembak dengan tangannya yang tidak lagi memegang rokok! Ini memang idea 'LUAR DARI KOTAK'!

6. Artis Tom Cruise melipat ganda jualan Ray Ban sebanyak 2 kali!
Pada tahun 1983 Tom Cruise memakai Wayfarer dalam filem Risky Bussiness. Jualan Ray Ban melonjak 50%. Dalam filem Top Gun pula, jualan Ray Ban melonjak 40% apabila beliau memakai Ray Ban Aviator dalam lakonannya. Respect!

7. Jenama Ray Ban hampir terkubur semasa era fesyen disko. Fesyen sunglass Bob Dylan dan Andy Warhol menjadi ikutan mengatasi Ray Ban. Tetapi, Ray Ban berjaya menjadi ikutan semula.

8. Jenama Ray Ban telah dibeli oleh syarikat dari Italy, LUXOTTICA pada tahun 1999. Ia dibeli dari syarikat Boush & Lomb. Sebab itu keluaran sebelum tahun 1999, 'engraving' pada kanta Ray Ban mempunyai 'B&L'. Kini engravingnya adalah 'R&B'.

9. Selama setahun produk Ray Ban tidak dikeluarkan selepas Luxottica membeli jenama terkenal ini.

10. Terdapat 3 kilang dari negara yang berbeza yang menghasilkan produk Ray Ban (bagi pasaran Asia Tenggara). Italy, Jepun dan China.

11. Ray Ban Aviator diambil namanya bersempena dengan dengan nama saintifik haiwan yang boleh terbang - AVIATOR!

Bolehlah jadi point-point untuk cerita pasal Ray Ban dekat rakan-rakan anda. Barulah anda nampak hebat! Dah la pakai Ray Ban, banyak tahu pula tu! 

Semoga artikel ini memberi perasaan 'berbunga-bunga' dan bangga setiap kali Ray Ban berada di wajah anda!

Jumaat, 16 Oktober 2015

3 jenis pelanggan : Jenis yang pertama boleh memimpin 'SEBUAH NEGARA'.


Dalam seminggu ada 3 jenis pelanggan yang paling banyak saya jumpa. 

Pertama, selalu tanya saya
"Ok tak pakai design frame ni?"

Kedua, yang cakap
"Nak cari frame yang tak nampak muka jadi 'besar' "

Ketiga, saya yang bertanya
"Encik suka yang macam mana ya?" Jawapannya "...........(diam sahaja)."

Hahaha... Semua dialog di atas betul tau.

Siapa rasa-rasa dia yang jenis pertama, anda bukan keseorangan. Anda jenis yang boleh menerima pandangan orang lain seperti pemimpin yang baik untuk sebuah negara! Anda ambil berat pandangan orang lain dan bersedia menerima teguran membina! Hahaha.. Insha Allah!

Dari sudut lain pula, anda seorang yang akan membuat sesuatu keputusan apabila sudah ada maklumat yang anda cari. 

Jadi nak berkongsi tip bagaimana pendapat pertama saya tentang design frame yang sesuai, selalu menjadi pilihan oleh pelanggan-pelanggan saya. Anda boleh gunakan untuk bagi pandangan dekat rakan atau ahli keluarga anda nanti.

+ Tahu jenis-jenis outline wajah. Ini kena betul-betul tahu. Katalah muka kawan kita tu bentuk bujur, bentuk frame yang sesuai selalunya bentuk petak. Tapi kalau rambutnya digunting dengan Flat Top (bahagian atas rambut digunting rata), nak ambil petak juga kah? Kalau dia suka stail rambut ni, ambil tengah-tengah. Bentuk tak petak sangat dan tak bulat sangat. 

+ Pastikan mata hitam kawan kita hampir di tengah-tengah pada setiap kanta frame tu. Orang yang pandang akan nampak kita seorang yang kemas dan teratur. Ini mudahkan 'eye contact' bila anda berurusan dengan sesiapa.

+ 'Step back' - Ini maksudnya bila nak tengok kawan kita tu, ambil beberapa langkah ke belakang. Lihat dari jauh sikit. Kadang-kadang bila tengok secara dekat ok, tapi dari jauh rasa macam 'tak masuk'. Postur tubuh, jarak kepala dengan bahu dan saiz badan boleh mempengaruhi.

+ Fesyen tudung - Jika nak pakai 'di luar tudung', suruh kawan kita ambil yang cukup-cukup je lebar sikit. Ini gaya yang amat digemari oleh generasi muda. Fesyen tudung yang tiada 'atap' akan nampak muka jadi lebih bulat, bahaya untuk yang dah memang bermuka bulat. Anda akan nampak berisi sikit. Gunakan bentuk bingkai yang 80% petak dan menutupi 1/4 dari keseluruhan wajah.

+ Pekerjaan - Jika banyak berjumpa dengan orang, anggap kitalah orang tu bila nak bagi nasihat apa yang sesuai untuk kawan kita. Nak nampak korporat warna bingkai gelap dan silver sahaja bagi lelaki. Perempuan juga warna yang gelap dan banyak memilih warna maroon, dark purple dan dark brown. Kalau kerja tak banyak jumpa orang, anda BEBAS berkreativiti!

+ Selesa bila orang yang memandang. Bila tak masuk bingkai dengan wajah, setiap kali orang jumpa kita, hati dia asyiklah bercakap "Peliknya cermin mata dia ni!". Walaupapun, diri kitalah yang perlu lebih selesa. Pastikan BULU MATA tak kena kat cermin mata masa try. Kelip-kelip banyak kali.

Tip di atas hanyalah panduan dan tidak semestinya perlu di ikut bulat-bulat. Cara paling mudah saya buat :
"Pejamkan mata, jadi orang yang bukan jual cermin mata, ambil berat apa pelanggan inginkan dan beri pandangan dari hati."

Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris.
+ Saya akan pejam mata sekejap, kosongkan minda

Khamis, 15 Oktober 2015

GURU : Barisan hadapan MENILAI KUALITI MELIHAT pelajar di SEKOLAH.



Saya tak nafikan bahawa kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia dalam mendidik anak bangsa. Guru adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak kita. Mengajar tanpa lelah dan tidak putus asa. Tapi, bolehkah guru mengesan jika anak muridnya ada masalah dengan CARA MELIHAT?

Saya pasti jika saya katakan 'cara melihat' nya ada masalah, anda mesti terbayang kena pakai cermin mata yang tebal. Tak kan lah anak murid tak boleh bagi tahu kalau tak nampak tulisan di papan hitam? Mustahil pula. Tapi itulah yang berlaku. Kebanyakan murid terutama di sekolah rendah memang tak tahu macam mana nak bagitahu cikgu bahawa penglihatannya kurang jelas.

Jim saya ceritakan apa yang akan berlaku pada pelajar jika kualiti cara melihatnya terjejas: 

+ Kemahiran menyalin nota-nota cikgu di white board - boleh tak mereka salin sepantas anak murid yang lain. Atau tiru saja kawan di sebelah. 

+ Saiz tulisan yang tidak sama dari mula hingga ke akhir - permulaan saiz tulisannya besar, pada ayat-ayat terakhir, saiznya semakin kecil. Ini banyak diberitahu oleh ibubapa ketika anak-anak melakukan kerja sekolah di rumah.

+ Tulisan tidak selari atau 'straight' - Walaupun ada garisan untuk menulis berpandukannya, mereka tetap tulis ayat dihujungnya naik ke atas atau semakin mengarah ke bawah.

+ Perkataan menjadi pelik daripada yang asal. Contohnya cikgu tulis 'Kambing itu berBULU'. Pelajar pula menyalinnya 'Kambing itu berBOLO'.

+ Bersukan dengan cara yang 'pelik'. Ada satu stori dari seorang cikgu lelaki yang mengajar Pendidikan Jasmani, "Ada seorang murid ni, dia tak boleh tendang bola masuk ke celah kangkang kawan dia dalam jarak 5 meter. Peliknya semua orang boleh buat." Bila cek mata, memang sah murid ini ada masalah dengan "cara melihat".

+ Cikgu tahu dia pandai (bertahun-tahun cemerlang dalam kelas), tapi sekarang dia antara yang tercorot. Pelik tiba-tiba tahun ni dia seperti 'orang lain'. Ini yang paling banyak saya jumpa dari kalangan pelajar sekolah.

Teringat saya kata-kata seorang Ayah pada anaknya : "Adik baca buku? Hahaha... Dia ni malas sikit nak baca lepas balik sekolah." Anaknya dah tunduk malu dan tidak memandang wajah saya. 

Bila dilakukan penilaian kualiti cara melihat, adik ini hanya gunakan sebelah mata untuk buat aktiviti belajar di sekolah dan di rumah. 

Ada beza tak orang yang buat sesuatu kerja guna mata sebelah sahaja dengan yang gunakan kedua-dua matanya. Saya berikan perumpamaan :
Bayangkan kita angkat barang yang berat (contohnya ayam 5 kilo dalam plastik, nak buat rendang katanya..hehehe..). Kita pegang sebelah tangan sahaja. Rasa-rasa boleh bertahan tak pegang untuk tempoh 2 jam? Mungkin boleh kalau tangannya memang besar, kuat dan sasa. Abang sado mungkin. smile emoticon

Kita tukar situasi, kita angkat ayam tu guna dua-dua tangan. Mesti lagi lama kita boleh pegang dan tak ada lah lenguh sangat kan?

Begitu juga dengan mata! Ada anak-anak yang hanya mempunyai rabun pada sebelah matanya. Tetapi lambat untuk dikenal pasti. Mereka ingat ia adalah cara normal - lihat dua-dua mata terang - tapi sebenarnya ada satu mata yang kabur. Jika power sebelah matanya sangat tinggi, mata TIDAK TAHU cara melihat dengan terang dan sarafnya tidak dapat berhubung dengan otak untuk 'memberitahu' apa imej yang terang. Keadaan ini disebut MATA MALAS atau LAZY EYE.

Jika ciri-ciri di atas ada pada anak murid cikgu, terus bawa mereka cek mata untuk di nilaikan KUALITI MELIHATNYA. Kita usahakan yang terbaik!

Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris.

Selasa, 13 Oktober 2015

Kenapa pakai cermin mata baru rasa PENING?


Pening, sakit kepala, mata rasa senak, jalan nampak tinggi rendah adalah pengalaman yang biasa dialami oleh orang yang memakai cermin mata baru.

Bila power berubah, cara mata 'bekerja' juga telah berubah. Otot mata sentiasa melakukan proses 'fokus' pada semua imej yang dipandangnya.

Bila otot ini telah belajar cara yang terbaik untuk fokus, PENING akan mula berkurangan. Ia adalah normal.

Pening akan lebih banyak dialami oleh orang yang :
~ Kali pertama pakai cermin mata.
~ Kali pertama pakai cermin jauh & dekat.
~ Power rabun naik lebih dari 075.
~ Upgrade kepada cermin lebih nipis.
~ Beza power mata kanan dan kiri jauh beza.

Walaupun saya telah beri power yang terbaik, ia masih kurang sesuai diguna untuk aktiviti harian. Kadang kala sehingga dua tiga kali 'sesi mencari yang terbaik'.
Tiada siapa yang sempurna.

Shahrizal Redwan.
Rizal Optometris.

Tukar WARNA MATA kepada Warna HIJAU?

Pakar bedah dah bagi perkhidmatan untuk tukar warna mata kepada apa jua warna kegemaran anda. 
Hanya 1% penduduk dibumi yang mempunyai mata berwarna hijau. Sebab itu ia menjadi warna pilihan utama.
Tetapi RISIKO dan kesan sampingan jauh lebih banyak dari nampak cantik saja.
Video dibawah : Implan untuk pesakit yang rosak Irisnya akibat kemalangan.


Superman


Orang dulu-dulu ingat kita lihat dengan mengeluarkan sesuatu kuasa keluar dari mata. Seperti 'SUPERMAN' dengan mata LASERNYA!
'Kuasa' ini tak mampu dilihat oleh mata manusia. Mereka fikirlah. smile emoticon
Setelah kajian dibuat, rupa-rupanya manusia melihat dengan memproses cahaya yang masuk ke mata. 
Perasan tak kalau siapa yang pakai cermin mata ada nampak pantulan cahaya berwarna hijau? Itu tandanya dia guna kanta dengan lapisan istimewa digelar 'AntiReflactive Coatings' (ARC).

Fungsinya : 
+ Kurangkan 'pantulan keluar' cahaya yang melalui kanta. Kualiti imej jadi lebih baik kerana ia membenarkan 95.5 % cahaya melaluinya.

+ Bila tangkap gambar, tiada pantulan 'flash' nampak pada cermin mata. Baru wajah dalam photo nampak cun! 
smile emoticon

+ Penampilan lebih cantik- Kanta nampak tidak tebal sangat kerana 'kejernihan' cermin kesan dari ARC.

+ Memandu malam yang BAIK! - Imej dengan cahaya bertindih dapat dikurangkan sehingga 80%.


*Gambar kedua : beza antara AntiReflactive Coatings jenama biasa (kiri) dan yang baik jenama CRIZAL (kanan).
Like Page Rizal Optometris untuk lebih

LIHAT usaha artis Hariss J. dengan lagu Islamiknya!


Saya rasa semua orang pernah dengar nama Maher Zain. Tetapi tak ramai lagi yang dengar tentang Harris J. Tapi....kenapa dia nampak macam Justin Bieber? smile emoticon

Pertama kali dengar alunan muzik dengan suara Irish-British membuatkan saya terpegun sejenak. Best! Boleh kata setiap lagu dalam albumnya berkualiti. Dari satu lagu ke satu lagu, saya mesti nak LIHAT balik dekat skrin telefon "Lagu ni tajuk ape? Oh yang ni memang best!"

Harris J. telah memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh The Awakening Records dimana Maher Zain sendiri menjadi jurinya di sosial media.

Terdapat 3 buah lagu duet didalam album ini. Teruja apabila artis baru ini berduet dengan Shujat Ali Khan dalam lagu Eid Mubarak. Hindustan habis!

Beliau juga punyai bakat dalam sukan bolasepak sehingga dipilih masuk secara ekslusif dalam 'Elite Training Club' di Akademi Kelab Chelsea! Ketika itu beliau berumur 12 tahun.

Lagu feveret?
Memang susah nak pilih. 3 ni yang bagi saya terbaik :
1. 'My Hero'. 
Lagu ini didedikasikan kepada Nabi Muhammad. " You are my Hero....always my HERO...". 

2. 'You are MY Life'. 
Dihati hanya ada Allah.

3. 'Salam Alaikum' 
LIHAT semua orang dengan kasih sayang dan dengan senyuman. Keamanan. Boleh tengok video klip sekali dekat Youtube.

Jom cepat-cepat dengar. Baru boleh suggest kat kawan-kawan lain dengan bangga!
smile emoticon

Shahrizal Redwan
Rizal Optometris

Mata Kucing seperti TEROPONG INFRARED


Ada satu SUPER POWER pada kucing yang tiada pada manusia. Matanya boleh melihat menggunakan CAHAYA ULTRA VIOLET (UV) bila sekeliling SANGAT GELAP! 
Cahaya UV ini adalah salah satu gelombang dari proses Elektromagnet yang sentiasa berlaku di bumi. 

Kenapa manusia TIADA?

Manusia tidak perlukannya kerana mata manusia pentingkan imej yang HEBAT. Sebab itu kita lebih banyak membuat penilaian dari maklumat imej yang dihasilkan.

Apa kata kita banding dengan kamera. Kalau kamera digital Nikon boleh menangkap gambar dengan resolusi 24 megapixel, mata kita pula boleh hasilkan imej MENAKJUBKAN dengan resolusi sehingga 546 megapixel! Banyak tu!


Cuba tengok gambar kedua. Itu perbandingan mata manusia (atas) dan kucing (bawah). Seolah-olah mata kucing ini guna TEROPONG INFRARED dalm gelap!

Dulu hanya cahaya UV dari matahari yang kita tahu bahayakan mata. Sekarang heboh pula bahaya cahaya UV yang dihasilkan oleh SMARTPHONE!

Sehingga ada satu kajian mendapati ia lebih BAHAYA dari orang yang mempunyai KATARAK atau selaput pada mata. Sebab ape? Kerana cahaya UV dari smartphone merosakkan saraf dan ia tidak boleh dipulihkan kembali !

Jadi apa nak buat untuk kurangkan cahaya UV dari smartphone? Ada beberapa tips:
+ Gunakan ‘screen protector’ UV protection - Screen smartphone akan jadi sedikit kuning tetapi huruf/perkataan akan nampak lebih ‘sharp’.

+ Rendahkan cahaya ‘background’ smartphone - Lebih mudah jika telah di ’set’ kepada Auto.

+ Gunakan "APPS" SunFilter untuk android & ColorProfiles pada iphone yang telah di jailbreak. Kita boleh adjust screen menjadi lebih 'warm'. Mata akan lebih selesa.

+ Gunakan cermin mata khas PENAPIS UV SMARTPHONE - Cermin ini boleh disertakan sekali dengan power rabun anda. Terdapat banyak jenama di pasaran menggunakan teknologi tersendiri. Saya list kan 3 yang terbaik :
1. Kodak Blue Lens
2. Crizal Prevencia (Essilor)
3. Nikon SeeCoat Blue UV 

Saya akan kongsikan kenapa jenama Kodak Blue Lens patut menjadi pilihan UTAMA dalam artikel akan datang. 


Shahrizal Redwan.
Rizal optometris.

Kamera Nikon vs Kanta Cermin Mata Nikon


Apa beruk pula pakai kamera Nikon ni? Serius pula riak mukanya. 
Macam baru lepas ‘SHOOT’ pastu tengok kat kamera : “Alamak, tak buka flash! Gelap gambar nih!” kata si beruk dalam hatinya.

Sebut Nikon mesti orang terbayang kamera. Jarang pula bila sebut Nikon, terbayang CERMIN MATA NIKON? Hmmmm.. kejap! Ada ke?

Semestinya ada kanta jenama Nikon untuk cermin mata !

Nikon sangat pakar dalam mengkaji tindakan cahaya melalui sesuatu bahan. Sehinggakan setiap kanta di dalam badan kamera Nikon dilapisi dengan satu permukaan khas yang digelar ‘MULTICOATED’. Ini menghasilkan imej yang tidak berbayang, tiada ‘flare’ atau ‘ghosting’ semasa menangkap gambar. 

Sebenarnya Nikon mula menghasilkan kanta berkualiti untuk cermin mata pada tahun 1946.

Mereka di nobatkan sebagai ‘orang pertama’ mencipta sesuatu yang baru tentang CARA TERBAIK MELIHAT MELALUI KANTA CERMIN MATA. Antara kejayaan Nikon ialah :

+ 1946 - Kanta paling berkualiti didunia dengan ungkapan ‘SUDUT PANDANGAN yang LEBIH TAJAM’.

+ 1983 - Syarikat pertama didunia menghasilkan CERMIN TAHAN CALAR.

+ 2000 - Cermin plastik paling padat pernah dihasilkan (indeks 1.74). Ia disertakan sekali dengan teknologi ‘IMBANGAN STABIL PERMUKAAN’ menjadikan cermin lebih ringan dan paling nipis.

+ 2003 - Rekabentuk cermin ‘TEMPAHAN KHAS’ bagi menghasilkan satu pengalaman ‘MELIHAT SECARA ASLI’ melalui kanta siri SEE MAX.

+ 2004 - Kanta pertama dengan lapisan khas supaya LALUAN CAHAYA MENJADI LEBIH NORMAL.

Kalau ada kamera NIKON, apa kata pasangkan dengan kanta cermin mata Nikon.

Kalau yang tiada kamera, anda juga adalah sebahagian dari KELUARGA NIKON apabila jenama ini sentiasa berada diwajah anda. Tahniah jika telah memilikinya!

Nak tahu 3 sebab kenapa pelanggan saya memilih NIKON?. Saya kongsikan dalam artikel yang akan datang. 

Kalau belum LIKE page Rizal Optometris, saya harap anda akan LIKE. Banyak INFO cermin mata yang nak saya kongsikan selama lebih 10 tahun saya dalam bidang ini. 
TERIMA KASIH jika sudah LIKE ya. smile emoticon

Shahrizal Redwan
Rizal Optometris
Perak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...