Kadang-kadang pelanggan ‘tersasul’ minta kanta MULTICOATED. Sebenarnya mereka mahu kanta MULTIFOKAL. Kalau kita tak bertanya untuk kepastian, kita juga yang susah kan?
Multicoated adalah cermin yang ada anti-silau, dan Multifokal pula adalah kanta yang punyai 3 power pada satu kanta.
Fuhh! Hebat kan?
Belum cukup hebat lagi tu. Sebenarnya penjual akan hanya akan cakap ianya ada 3 power sekali (power untuk rabun jauh, rabun jarak komputer dan rabun dekat) pada satu cermin.
Sebenarnya..
Ia ada power yang sangat banyak!!
Penjual ingin mudahkan bicara senangkan poin-poin untuk menjual.
Kali ini, kita lihat dari perkataan MULTIFOKAL itu sendiri,
Multi- maksudnya banyak.
Fokal- Fokus oleh kanta tersebut pada satu-satu jarak.
Jadi,
Multi + Fokal = Banyak FOKUS yang boleh dihasilkan oleh kanta tersebut pada JARAK yang kita ingini.
Tetapi seharian, kita akan lakukan sesuatu aktiviti banyak merujuk kepada 3 bahagian kawasan,
+ Jauh. Betul-betul jauh ni.
+ Pertengahan. Jarak monitor komputer atau lauk kari kepala ikan yang agak jauh dari kita masa makan atas meja. Hahahaha.. Terus rasa lapar nih.. 😆
+ Dekat. Aktiviti membaca berjarak 33 hingga 50 cm.
.
.
Apa yang perlu kita tahu tentang Kanta Multifokal ini?
Kita lihat dulu kelebihannya :
+ Kebiasaannya untuk yang berumur 40 tahun ke atas. Tapi 2 tahun kebelakangan ini saya banyak preskripsikan power Multifokal (multifocal lens) yang seawal umur 35 tahun dan ke atas. Mata dah makin ‘tua’ dari sepatutnya. (Ada artikel saya tentangnya).
+ Salah satu cara untuk bantu melakukan kerja pada jarak dekat pada yang telah punyai RABUN DEKAT.
+ Bantu seseorang yang punyai masalah dengan sistem fokusnya yang celaru dan tidak mencukupi untuk hasilkan imej terang pada tempoh yang lama.
+ Mudah dipakai ketika lakukan aktiviti bergerak dan perlu lihat jarak jauh dan dekat berkali-kali. Contohnya ketika seminar/kursus atau ketika ‘shopping’.
+ Nampak lebih muda. Pilihan alternatif kanta untuk tidak punyai rupa seperti orang yang telah berumur. Sebab, kalau pakai cermin dekat sahaja (reading glass) kita akan terbiasa letak di hujung hidung, dan kepala tertunduk sambil mata seolah-olah menjegil bila tengok jarak jauh. Seram lah! 😆
+ Mata dapat bekerja secara berperingkat, dan tidak cepat letih. Sebab perubahan power dari power rabun jauh ke power rabun dekat, meningkat/berkurang secara berperingkat.
+ Punyai aksesori lengkap (tambahan ciri pada kanta tersebut). Punyai cermin yang sensitif dengan cahaya matahari, boleh bertukar menjadi gelap dan jernih semula. Ada juga yang punya cermin yang tahan pecah, sesuai untuk seseorang yang lasak dan suka frame tiada bingkai (frameless).
.
.
Ini pula kekurangan jika memakai kanta Multifokal :
+ Tidak berapa sesuai untuk aktiviti membaca yang lama. ‘Reading glass’ berkualiti adalah yang terbaik. Sebab itu saya sangat syorkan pada pelanggan saya buat ‘spare’ cermin mata khas untuk aktiviti membaca yang berjam-jam.
+ Tidak semua orang boleh ‘menerima’ kanta multifokal dengan cepat ketika mula-mula mencubanya.
+ Orang yang tiada rabun jauh lebih sukar untuk berjaya beradaptasi bila pakai. Tapi dengan teknik dan tips yang betul, kejayaan lebih tinggi untuk bagi mata menerimanya. Beri peluang pada mata ya!
+ Punyai pandangan sisi yang kurang ‘sharp’ ketika menjeling. Kawasan ini dinamakan ‘distortion’. Ia wujud kerana pertindihan power rabun jauh dan rabun dekat. Teknologi terkini seperti yang digunakan pada kanta Multifocal VARILUX oleh Essilor adalah salah satu contoh mengurangkan masalah ini. www.essilor.com.my
+ Melihat komputer dengan kawasan yang terbatas. Maksudnya kepala kena banyak bergerak seperti kita melihat keindahan dunia yang luas dengan teropong yang kecil! NIKON dengan siri ‘DIGILIFE’ mengurangkan masalah ini untuk pelanggan saya yang banyak habiskan masa bekerjanya di hadapan komputer. www.nikon-lenswear.com
+ Pada permulaan pakai kanta ini, akan terasa seperti lantai nampak ‘tinggi’ dan bergelombang bila cuba gelengkan kepala.
+ Perlu pakar untuk mengajar cara memakainya. Cara pakai mudah, tipsnya yang perlu tahu. Saya akan kongsikan pada artikel akan datang. 😊
+ Kalau bingkai patah/rosak, prestasinya tidak akan sama jika bingkai baru yang berlainan saiz diganti. Sebab, keselarian mata hitam dan titik fokus power pada kanta akan terjejas. Biasanya akan berkata “Pakai dah tak berapa ‘sedap’.”
+ Kanta dari jenis teknologi terkini, kos pembelian agak mahal. Boleh mencecah ribuan ringgit.
+ Tidak semua orang boleh pakai cermin multifokal yang dari budget rendah. Kerana ia tidak mengambil kira cara kita membaca, melihat komputer, dan paling banyak keluhan yang saya dengar adalah kawasan sisi dan nampak ‘tinggi rendah’ yang keterlaluan. Bila ‘upgrade’ cermin lebih baik bermula RM 500 ke atas, baru kurang sedikit masalahnya.
+ Tiada ‘gerenti’ yang menjamin anda boleh pakai cermin Multifokal yang mahal atau pun yang murah. Tapi, jika kena pada caranya, anda akan peroleh kelebihan sebagai pengguna cermin jauh dan dekat dengan teknologi terkini.
.
.
Kalau kita dah tahu sedikit di atas tu, sudah cukup untuk kita buat penilaian untuk memilih kanta ‘Multifocal’ ini atau tidak.
Semoga sahabat yang mahu membeli, atau sahabat dalam industri optikal, dapat sedikit sebanyak manfaat dari artikel ini.
Ia berdasarkan pengalaman saya selama lebih dari 10 tahun dalam bidang ini.

-Shahrizal Redwan, Optometris.
Rizal Optometris Kuala Kangsar & Klebang, Ipoh.